Dato' Onn Jaafar
"Nasib bangsa kita hanyalah akan
dapat diperkenalkan dengan kesatuan hati di antara kita juga dan
kesatuan kebangsaan kita itu hanyalah akan dapat dipeliharakan dengan
berpegang teguh kepada suatu kepercayaan yang lebihbesar dan lebih
tinggi daripada bangsa itu sendiri" - Dato' Onn Jaafar
Dato' Onn Jaafar adalah lagenda bangsa
Melayu. Jasanya meniupkan semangat nasionalisme kepada orang Melayu
tidak sesekali luput di ingatan dan masih segar terpahat di sanubari
rakyat Malaysia. Mantan Menteri Besar Johor ini, merupakan pengasas dan
Yang DiPertua pertama UMNO, peneraju utama gerakan untuk menentang dan
mengalahkan Malayan Union dan tokoh pelopor dan pemangkin perpaduan dan
kerjasama antara kaum di Malaysia.
Beliau dilahirkan di Bukit Gambir, Johor
Bahru, Dato Onn ialah anak kepada Datuk Jaafar bin Haji Muhammad,
Menteri Besar Johor yang pertama. Seorang kerabat diraja Johor, beliau
dipelihara oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar sejak kecil, dan
mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajarannya di England.
Dato Onn bekerja sebagai wartawan pada
tahun 1930 ketika berumur 35 tahun, dan pada tahun 1934, menjadi
pengarang Lembaga Malaya dan Harian Lembaga. Disamping itu, beliau juga
pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor. Semasa zaman
Pendudukan Jepun, Dato Onn menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri
Johor. Dato' Onn pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah dalam
pentadbiran penjajah British, tetapi kemudian berhenti kerana membantah
dasar-dasar jajahan.
Pada 1 - 4 Mac 1946, 41 buah persatuan
Melayu telah berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur untuk
menghadiri Kongres Melayu pertama yang diadakan untuk menentang Malayan
Union yang diperlihatkan sebagai ancaman terhadap hak istimewa orang
Melayu dan kedudukan sultan-sultan Melayu. Hasil daripada mesyuarat ini,
sebuah badan yang mewakili orang Melayu telah ditubuhkan ketika Kongres
ketiga diadakan di Johor Bahru pada 1 Mei 1946. Disebabkan Dato Onn
amat aktif dalam gerakan nasionalisme Melayu, kongres itu melantik
beliau sebagai presiden pertama.
Pada 1 Oktober 1946, Datuk Onn dilantik
menjadi Menteri Besar Johor. Tiga tahun kemudian, beliau meletakkan
jawatan untuk menumpukan masanya kepada UMNO. Di bawah kepimpinannya,
UMNO berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union
dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu
1948 mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu dan memperketatkan
syarat-syarat kerakyatan, serta memberi hak istimewa Melayu.
Datuk Onn kemudian berasa kecewa dengan
apa yang beliau menganggap sebagai dasar-dasar perkauman UMNO, dan
mencadangkan bahawa keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah
Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan
Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu". Oleh sebab cadangan itu
ditentangkan, Dato Onn meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila
persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 - 26 Ogos
1951. Dato Onn kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada
26 Ogos, 1951. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan
daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau meninggalkan parti itu
untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya
umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955. Parti
Negara menyekatkan keahlian bukan orang Melayu dalam satu percubaan
untuk memperoleh sokongan daripada orang-orang Melayu. Walaupun
demikian, partinya masih gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi
sebarang kerusi dalam pilihan raya itu. Bagaimanapun, Dato Onn masih
berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau
berjaya mendapat satu kerusi di kawasan parlimen Kuala Terengganu
Selatan dalam Pilihan Raya Umum 1959 dengan bantuan parti PAS. Dato Onn
Jaafar mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussein, dan salah
seorang daripada anak mereka ialah Allahyarham Tun Hussein bin Dato'
Onn. Beliau meninggal dunia pada tahun 19 Januari 1962 dan dikebumikan
di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor.
Suitable for pupils.. good job =)
ReplyDeleteGood , keep it up !
ReplyDeleteBagus. Dapat berkongsi ilmu dan maklumat sesama kita.
ReplyDeletenice blog akka.. keep it up!!!!
ReplyDelete